Thursday, December 9, 2010

History of Pencak Pokolan Bawe'an Singapura

Ini sirah ringkas, Guru Rama Abdul Kadir Bin Rama Haji Mohammad Kassim, 47 tahun, kelahiran bumi yang penuh rahmat dan barokah, Singapura. Beliau telah mempelopori Pencak Pokolan Bawe'an  ini di bawah bimbingan ayahanda Almarhum Rama Haji Mohammad Kassim Bin Rama Haji Omar Hosni, berasal dari Pulau Bawe'an dan telah mewariskan pada beliau ilmu persilatan ini.

Almarhum Rama  Haji Mohammad Kassim, telah berguru dengan 2 orang pendekar di Pulau Bawe'an yang bernama Pendekar Rama Sukri dan Pendekar Mas'od yang mengambil masa selama tidak kurang 20 tahun dan telah diuji oleh beberapa Pendekar di sana. Dengan Ketangkasan dan Kelincahan beliau, Almarhum telah ditabalkan ke martabat 'Pendekar'. Menurut Rama Kadir, permainan Pencak Bawe'an ini terdapat pelbagai aliran dan ia tidak tertakhluk pada satu system atau aliran yang adad pada Perguruan-perguruan lain. Kerana setiap kali mereka (para-para pendekar) akan adakan satu sesi bermusyuarah dengan para ulama tentang pergerakan langkah yang akan dimainkan dan dalam segi kebatinan pula, supaya ia tidak melencung dari Aqidah Islam.


Permainan Pencak Pokolan Bawe'an ini berasal dari Pulau Bawe'an, Jawa Timur dan terkenal dengan kesenian pedang dan pokolan-nya. Menurut cerita orang-orang lama, permainan pedang ini yang asalnya dari seorang Sufi dari Arab yang datang ke Pulau Bawe'an untuk berdakwah, dipendekkan cerita cerita para pendekar yang telah memperhalusi dan dijadikan satu seni Pencak yang unik di kalangan masyarakat tempatan. Bagi permainan Pokolan (beladiri) pula, datangnya daripada pendekar-pendekar dari Seluruh pelusok Tanah Indonesia. Gerak tangan dan langkahnya semua digabungkan menjadi satu dari itu tidak hairanlah jikalau ada pergerakan tangan dan langkah-nya ada persamaan dengan permainan Pencak-Silat nusantara.


Terdapat juga beberapa fakta yang menarik mengenai pergerakan Pencak Pokolan Bawe'an ini. Petama: Pencak Bawe'an mempunyai kesenian yang unik di nusantara kerana permainan pedangnya yang penuh dengan penghayatan dan rahsianya. Untuk mengetahui rahsianya, kita hanya boleh mendapatkannya apabila kita telah betul-betul memahamidengan permainannya. Kedua: Pokolan Bawe'an adalah pergerakan beladiri dengan gerak pantas dan lincah untuk mematahkan dan mematikan Pihak lawan. Ketiga:tidak terhad pada orang Bawe'an sahaja, malah, terbuka kepada sesiapa yang minat untuk mempelajarinya. Pencak Bawe'an terkenal dengan permainan pedang-nya tapi ia tidak bermakna kemahiran hanya bersenjata pedang sahaja tapi juga mahir bermain senjata-senjata lain seperti keris. Yang menghairankan, mengapakah tiada keris Bawe'an seperti mana kita dengar, keris Bugis, Bali, Jawa dan sebagainya. Walau bagaimanapun, ada juga keris yang diperbuat dari Pulau Bawe'an. Yang menyedihkan permainan pencak Bawe'an tidak dapat perhatian badan induk IPSI & PERSILAT.


Mengenai Perguruan Pencak Pokolan Bawea'an, Rama Kadir berharap agar ilmu persilatan yang diajari walaupun seluas mana, janganlah kita menjadi seorang yang agresif, riak dan takabur, cukup lah setakat untuk membela diri, keluarga, agama dan Negara. Selalu bersifat rendah diri, ta’at pada Ibu-Bapa & Agama, sabar,jujur dan “AMANAH”, itu yang harus dilakukan.Penekanan ilmu pada teknik jurus dan langkah, hanyalah untuk keyakinan dan kemampuan diri. Kebatinan hanyalah untuk mematuhi syariat agama dan disiplin diri. Harapan Rama Kadir adalah untuk memajukan & memperkenalkan permainan Pencak Pokolan Bawe’an di peringkat Asean dan Antarabangsa. Insya’Allah, jikalau diizinkan.
Pada tanggal 15 Mac 2009, Pencak Pokolan Bawe’an membuat satu sejarah dengan mengadakan satu Festival Pencak-Silat dengan kerjasama Ikatan Pencak Silat Indonesia (IPSI) Batam di Pulau Batam. Rama Kadir dengan kerjasama 10 perguruan Singapura dan perguruan Seluroh Pulau Batam membuat persembahan yang ‘GAH’ bergelar "Seni Budaya Dan Atraksi Pencak Silat Serumpun , Singapura dan Batam" yang diadakan di Mega Mall, Batam dan juga mendapat perhatian dari masyarakat & media2 di-sana. Pihak IPSI-Batam telah berbincang dengan Rama Kadir bahawasanya acara ini mungkin akan dilanjutkan seperti Kejuaraan SIJORI diantara Singapura, Johor dan Riau. Cuma acara yang ini lebih kepada kesenian-nya.
Rama Kadir pernah menjuarai kesenian dan beberapa pertandingan olah-raga di peringkat kebangsaan (negeri) dan antarabangsa pada tahun 80an dan 90an, beliau adalah seorang Wasit-Juri Internasional Kelas 3(Persilat), Bekas Jurulatih Nasional (Persisi) dan pernah duduk sebagai Jawatan-Kuasa Biasa di- Persekutuan Silat Singapura (Persisi). Perguruan Pencak Pokolan Bawe’an menaung di bawah Persatuan Wanita dan Teruna (Perwanit) yang  berkerabat dengan Persisi.
Gelanggang P.P.B di Singapura terletak di Pasir Ris Zone “12” Residents’ Committee, Dewan Serbaguna, Pasir Ris st 52. Sesiapa yang berminat untuk mempelajarinya, boleh lah datang ke alamat tersebut ataupun, sila hubungi langsung dengan Rama Kadir di talian [+6590616788 ]. Anda juga boleh mengirimkan e-mail di: pencakbawean@hotmail.com  .

No comments:

Post a Comment